KOTA BHARU | Selebriti tersohor, Noor Neelofa Mohd Noor menerima anugerah daripada Kerajaan Negeri Kelantan, semalam.
Anugerah Tokoh Sayyidatina Juwairiyah Al-Harith Bagi Kategori Tokoh Berpengaruh Mega atau influencer diberi kepada Nor Neelofa, 32, atau lebih dikenali sebagai Neelofa sempena sambutan Hari Sayyidatina Khadijah (HSK) 2021.
Anak kelahiran Pasir Mas adalah salah seorang daripada 14 wanita yang menerima anugerah pada majlis berkenaan disampaikan Timbalan Menteri Wanita, Keluarga Dan Masyarakat Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff di Kota Darulnaim.
Bagaimanapun, Neelofa tidak dapat hadir ke majlis itu kerana dipercayai berada di Langkawi atas urusan perniagaan selepas melangsungkan perkahwinan pada Sabtu lalu.
Bukan itu sahaja, wakil keluarga Neelofa juga tidak hadir ke majlis untuk menerima anugerah itu.
HSK adalah program tahunan yang diperkenalkan kerajaan Kelantan bagi meraikan, mengiktiraf peranan serta sumbangan wanita dalam pembangunan di negeri ini.
Program ini dianjurkan oleh Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan.