KUALA LUMPUR: Kerajaan telah menetapkan pelaksanaan spesifikasi minyak diesel Euro 5 bagi menggantikan minyak diesel Euro 2M bermula hari ini.
Memetik Harakah, Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, semua syarikat pengeluar, pembekal dan stesen minyak dikehendaki mematuhi pelaksanaan ini selaras dengan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Kandungan Petrol Dan Diesel) 2007 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Kandungan Petrol Dan Diesel) (Pindaan) 2021.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, tarikh asal pelaksanaan minyak diesel berspesifikasi Euro 5 adalah pada 1 September 2020.
“Atas keprihatinan kerajaan, jemaah menteri pada 10 Jun tahun lalu bersetuju menangguhkan pelaksanaannya pada 1 April ini susulan kekangan di pihak industri dan pandemik COVID-19.
“Pelaksanaan spesifikasi minyak diesel Euro 5 merupakan salah satu usaha kerajaan untuk mempertingkatkan status kualiti udara sepertimana yang digariskan dalam Pelan Tindakan Udara Bersih 2010 (Clean Air Action Plan).
“Kualiti minyak adalah penting untuk sistem enjin dan pelepasan daripada ekzos,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Menurutnya, enjin berteknologi baharu yang mematuhi standard pelepasan Euro 4 ke atas memerlukan minyak yang lebih bersih untuk beroperasi secara optimum dan cekap dalam mengawal pelepasan asap/gas pencemar daripada ekzos.
“Pelaksanaan spesifikasi minyak diesel Euro 5 di seluruh negara akan dapat mempertingkatkan status kualiti udara.
“Euro 5 merupakan diesel dengan kualiti yang lebih bersih dan kandungan sulfur yang lebih rendah iaitu sebanyak 10 part per million (ppm) berbanding Euro 2M yang mempunyai kandungan sulfur sebanyak 500 ppm,” katanya.