KOTA BHARU | Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) DUN Tanjong Mas sentiasa proaktif menyantuni masyarakat dengan pelbagai pendekatan yang disambut baik penduduk.
Melakukan kebajikan tanpa bermusim, hari ini BERSATU DUN Tanjong Mas menggembleng tenaga bersama sayapnya, ARMADA dan dibantu komuniti membersihkan tanah perkuburan Kampung Pulau Kapas, Kampung Belukar Panji.
Lebih 40 penduduk bersama penganjur memulakan Program Amal Gotong Royong Membersihkan Kubur bermula 8 pagi dan sikap saling bantu membantu sangat jelas dengan penglibatan pelbagai peringkat umur termasuk kanak-kanak.
Naib Ketua Bahagian BERSATU Kota Bharu, Rujhan Abdul Rahman berkata, inisiatif berkenaan dilakukan bagi memupuk semangat kebersamaan dalam wemujudkan keharmonian hidup bermasyarakat.

“Kita melakukan kerja amal ini bukan semata-mata untuk meraih ‘political mileage’ bagi berdepan dengan pilihan raya sahaja, tetapi biarlah pendekatan yang kita lakukan ini berterusan demi membawa kebaikan kepada masyarakat.
“Inilah peranan besar yang dibawa oleh BERSATU Kota Bharu di bawah kepimpinan Ketua Bahagian, Datuk Mohammed Farid Mohamed Zawawi supaya masyarakat dapat melakukan ‘sentuhan’ bersama kita dan merasakan mereka dekat dengan kita,” katanya hari ini.
Menyambut baik usaha dilakukan itu, seorang penduduk, Romlah Ismail berkata, semangat membantu masyarakat seharusnya tidak bermusim dan perlu diteruskan setiap masa.
Katanya, kumpulan terbabit sering turun padang membantu membersihkan perkuburan di sini dan ia sangat baik apatah lagi sudah menghampiri Ramadan.
“Tidak kira parti mana yang datang, paling penting mereka ada budi bahasa dengan kami dan tahu bagaimana nak tambat hati kami,” katanya.