ALOR SETAR | Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) merampas 1.6 tan makanan kucing dari Thailand yang cuba diseludup ke negara ini melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, kelmarin.
Pengarah MAQIS Kedah, Lily Rosalind Paul, berkata makanan haiwan itu dirampas daripada sebuah lori selepas didapati dibawa masuk tanpa permit sah kira-kira jam 4.45 petang.
“Hasil pemeriksaan rutin yang dilakukan terhadap lori terbabit mendapati 200 kotak makanan haiwan dianggarkan bernilai RM8,641 cuba dibawa masuk ke Malaysia untuk pasaran tempatan.
“Semua barangan itu dirampas untuk tindakan lanjut kerana tidak mempunyai sebarang dokumen dan permit import sah daripada MAQIS,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Lily Rosalind berkata, perbuatan mengimport tanpa permit yang dikeluarkan MAQIS menjadi kesalahan mengikut Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).
Katanya, jika sabit kesalahan, pengimport boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 11(3), akta sama.
“Kita mengguna pakai Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan dan tumbuhan.
“Ia juga bagi bagi memastikan jaminan keselamatan makanan mematuhi aspek kesihatan manusia dan dapat mengawal kemasukan penyakit berbahaya yang boleh mengancam industri makanan negara,” katanya.