KUALA LUMPUR | Tindakan Menteri UMNO meminta nasihat dan padangan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkenaan kedudukan mereka dalam Kabinet adalah satu tindakan terpuji.
Pensyarah Pusat Pengajian Jarak Jauh (PACE) Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Nik Mawardi Mohamed, berkata, atas nasihat itu juga mereka mencapai kata sepakat untuk kekal dalam kabinet Perikatan Nasional (PN).
Katanya, ini menunjukkan Menteri UMNO lebih mengambil kira kepentingan rakyat berbanding keputusan parti.
“Apatah lagi sebahagian daripada Menteri memegang portfolio penting khususnya Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, dalam usaha negara menangani pandemik Covid-19.
“Sekiranya Menteri-Menteri UMNO ini mengambil tindakan meletakkan jawatan bagi menyahut kehendak suara-suara lantang di dalam PAU maka pastilah tumpuan kerajaan untuk memerangi COVID-19, melaksanakan program imunisasi kebangsaan dan memulihkan ekonomi negara akan terencat,” katanya.
Menurut penganalisis politik, sekiranya Muhyiddin membuat pertimbangan politik, maka sudah tentu Menteri UMNO akan meletakkan jawatan dan di ganti Ahli Parlimen BERSATU atau parti komponen lain.
Katanya, tetapi ianya tidak begitu walaupun penarikan diri Menteri UMNO tidak menggugat kedudukan kerajaan sehingga tempoh Proklamasi Darurat berakhir.
“Muhyiddin lebih memikirkan kepentingan rakyat dan negara berbanding kepentingan politik kerana beliau tidak mahu perletakan jawatan Menteri-Menteri UMNO ini dari Kabinet menjejaskan segala perancangan kerajaan untuk mengatasi masalah COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.
“Pada masa sama, Menteri UMNO ini, mahupun Timbalan Menteri, dan lain-lain perlulah memahami prinsip pertanggungjawaban bersama (collective responsibility) dan prinsip kerahsiaan (secrecy) di dalam melaksanakan tugas mereka kerana kita tidak mahu nantinya terjadi nanti keadaan di mana mereka tidak mempertahankan keputusan bersama atau membocorkan rahsia kerajaan untuk kepentingan parti.
“Mereka harus berpegang pada sumpah yang dilafazkan sewaktu dilantik memegang jawatan dalam memelihara, melindungi dan mempertahankan perlembagaan serta tidak memberitahu rahsia kerajaan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Nik Mawardi berkata, pengumuman bersama Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan untuk mengukuhkan PN memberi keyakinan kepada orang Melayu.
“Selaku induk utama dan pengasas bersama PN, persetujuan BERSATU dan PAS untuk bermesyuarat sesama mereka terlebih dahulu bagi merangka strategi pilihan raya, termasuk rundingan pengagihan kerusi, sebelum membawanya ke Mesyuarat Majlis Tertinggi PN untuk dimuktamadkan secara kolektif di kalangan semua parti-parti komponen sudah pastilah akan mampu memberikan keyakinan kepada umat Melayu Islam khususnya betapa PN adalah satu gabungan yang akan mampu menjaga kepentingan mereka.
“Pengukuhan kerjasama antara BERSATU dan PAS ini pastinya akan menjadi satu tamparan kepada para pemimpin UMNO yang di dalam PAU baru-baru ini memberikan kata dua kepada PAS untuk tidak lagi bermain di dalam dua kolam dengan membuat pilihan antara BERSATU dan UMNO.
“Apatah lagi bila kedua-duanya mengambil pendekatan berbeza daripada UMNO dengan bertegas menolak sebarang bentuk ‘penjajaran baharu untuk menubuhkan kerajaan pasca-PRU15, terutama yang melibatkan Pakatan Harapan dan sekutunya,” katanya.