BACHOK | Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mensasarkan nilai jualan hasil pertanian menerusi program Ladang Kontrak 2.0 mencecah RM60 juta tahun ini.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, program di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) itu dapat membantu meningkatkan pengeluaran pelbagai jenis sayur-sayuran dan buah-buahan negara.
Katanya, FAMA turut mensasarkan seramai 1,000 peserta di seluruh negara yang akan menyertai program Ladang Kontrak sepanjang tahun ini.
“Menerusi program ini ia dapat membantu petani memasarkan hasil tananam dengan lebih baik secara borong mahupun runcit dan ia juga satu usaha berterusan yang diadakan oleh FAMA bagi membantu golongan petani.
“Bantuan itu bukan sahaja meningkatkan hasil petani, malah ia juga dapat menarik golongan muda untuk menceburi sektor pertanian, katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di lawatan kerja Projek Usahawan Ladang Kontrak FAMA Kelantan di Pasar Tani Borong Runcit, Kampung Teluk Kemunting, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah FAMA Kelantan, Wan Nora Wan Ahmad.
Terdahulu beliau menyerahkan replika cek bernilai RM7,000 seorang usahawan Mhd Jasni Abd Rahman, 46, yang mengusahakan tanaman fertigasi gantung tanaman timun hijau dengan sebanyak 1,100 polibag.