KUALA LUMPUR: Muafakat Nasional (MN) ditubuhkan untuk menyatukan persaudaraan dan kuasa politik umat Islam, bukan bertujuan menjadikan mana-mana parti mendominasi satu sama lain.
Ahli Jawatankuasa Pusat PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata MN semata-mata untuk memperkasa umat Islam yang menjadi majoriti rakyat Malaysia, sekali gus memberi jaminan keselamatan dan kebajikan untuk rakyat minoriti.
Agenda MN menolak sebarang muafakat atau kerjasama dengan mana-mana golongan yang menolak Islam atau tidak mesra Islam seperti ditunjukkan DAP dan PKR ketika mentadbir negara bersama Pakatan Harapan (PH).
“Justeru, slogan ‘No DAP, No PKR’ sentiasa dilaungkan dan dijadikan asas persefahaman. Malah, PAS keluar daripada Pakatan Rakyat pada 2015 juga atas asas menolak agenda DAP dan PKR yang dilihat songsang tidak menguntungkan Islam.
“Inilah yang dimaksudkan Presiden PAS (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) dalam tulisan terkini iaitu kerjasama mestilah berasaskan dua perkara, pertamanya dengan golongan yang tidak ‘ekstrem’ dan keduanya dengan golongan bukan bersifat ‘liberal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, dalam meluruskan asas muafakat inilah, Abdul Hadi menegaskan kepentingan menjaga muafakat semua parti termasuk UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
“Bersama UMNO ditegaskan slogan perkukuhkan MN. Bersama BERSATU pula ditegaskan slogan mempertahankan Perikatan Nasional (PN) yang PAS dan UMNO juga menjadi sebahagian kerajaannya.
“Tidak mungkin kerajaan yang ditubuhkan dan diuruskan bersama cuba diruntuhkan pula hinggalah berlakunya PRU seterusnya,” katanya, menjelaskan bahawa kesatuan umat tidak mudah dijayakan dan laluannya berliku.
“Ramai yang sedang mendoakan kejayaan kesatuan ini seperti mana adanya golongan yang mengharapkan kehancuran perpaduan ini kerana kepentingan peribadi sendiri. Ayuhlah umat terus bersatu di atas asas muafakat yang telus dan tulus,” katanya.
Dalam mendepani pelbagai isu rakyat dengan suasana pandemik COVID-19 dan kesuraman ekonomi, kesatuan dalam kalangan pemimpin sangat penting dan ia menjadi asas kestabilan kerajaan.
“Kerajaan perlu dilihat sentiasa memperjuangkan isu dan kepentingan rakyat. Kritikan yang dibuat mestilah dengan hasrat ke arah memperkasakan kerajaan bersama. Tidak wajar isyarat yang salah disampaikan kepada rakyat yang sedang berhadapan dengan isu kesusahan ekonomi dan pengangguran akibat pandemik COVID-19. – Berita Harian.