TANAH MERAH | Seramai 10 individu ditahan polis ekoran tularnya video tiga remaja perempuan memukul seorang mangsa yang juga perempuan.
Individu yang berusia 14 hingga 17 tahun itu ditahan polis selepas mereka tampil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah, semalam.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Zainuddin Md Yusuf berkata, kesemua mereka melibatkan enam remaja perempuan dan empat lelaki hadir ke balai untuk menyerah diri.
“Lapan daripada remaja itu masih bersekolah manakala dua tidak bersekolah. Kesemua mereka dibebaskan hari ini dengan jaminan polis.
“Punca pergaduhan disyaki berebut teman lelaki, dan seorang daripada mereka didapati positif dadah jenis methampethamine,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, kes akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk tindakan lanjut dan kertas siasatan sedang dilengkapkan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 147 atas kesalahan merusuh.
Media sebelum ini melaporkan seorang remaja perempuan dipukul tiga remaja lain dengan ditolak sebelum disepak berkali-kali.