OLEH SITI AINIZA KAMSARI
KUALA LUMPUR | Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) akan terus komited memperkukuhkan kerjasama antara parti-parti anggota Perikatan Nasional (PN) iaitu Pas, STAR, SAPP dan GERAKAN.
Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, dalam masa sama, Bersatu juga bersiap sedia untuk membantu rakan politik lain seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang setia menyokong kepimpinan Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin sebagai Perdana Menteri, khususnya dalam menghadapi Pilihanraya Dewan Undangan Negeri Sarawak akan datang.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media berhubung hasil Mesyuarat Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang berlangsung di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM) di sini, semalam.
Presiden Parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempengerusikan Mesyuarat tersebut yang berlangsung selama hampir tiga jam.
MPT Bersatu juga kata Hamzah sebulat suara bersetuju untuk melantik seramai 12 orang wakil Bersatu yang diketuai sendiri oleh Muhyiddin dalam Jawatankuasa Permesyuaratan BERSATU-PAS di peringkat pusat bagi merangka strategi kedua-dua parti untuk menghadapi PRU-15 akan datang.
“MPT Bersatu turut memutuskan untuk menyegerakan pelantikan Ketua-ketua Bahagian Ahli Bersekutu dalam masa terdekat bagi memperkasakan dan meningkatkan lagi penglibatan ahli-ahli bersekutu Bersatu,” katanya.
Selain itu katanya lagi, MPT Bersatu juga menegaskan bahawa parti mengiktiraf peranan serta penglibatan aktif anak muda dalam bidang politik dan aktiviti kemasyarakatan.
“Sehubungan itu, Bersatu menyeru Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menyegerakan pelaksanaan pindaan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 berhubung kelayakan mengundi pada usia 18 tahun,” katanya.
Menurutnya, Bersatu beriltizam untuk terus fokus dan meningkatkan gerak kerja parti di setiap peringkat dalam usaha untuk membantu rakyat Malaysia yang
masih terkesan akibat penularan pandemik COVID-19 dalam negara dan situasi ekonomi global yang mencabar.