KOTA BHARU | “Kita (BERSATU) tak tolak dan tak pernah tolak agenda penyatuan. Janganlah tuduh kita tolak pula,” kata Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Ketua Penerangan Bersatu itu menegaskan sedemikian kerana parti berkenaan sebelum ini dijemput untuk menyertai Muafakat Nasional (MN).
Jadi kata beliau, jangan sesekali menuduh BERSATU menolak agenda penyatuan dan perkara itu tidak benar sama sekali.
“Saya ditanya mengenai MN. Tahun lepas BERSATU dijemput menyertai MN.
“Kita bincang mendalam jemputan ini dan akhirnya kita bersetuju menerima jemputan tersebut. Bukan kita minta masuk. Kita dijemput masuk,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, juga setelah BERSATU membalas surat dan menyatakan persetujuan, tidak ada respon rasmi berkenaan status selanjutnya.
“Saya sendiri tertanya-tanya apa status jemputan itu sekarang.
“Cuma, bila ditanya adakah BERSATU tolak MN, saya nak tegaskan bahawa kita dijemput masuk dan kita setuju.
“Selepas kita setuju, the ball is not in our court anymore. Kita tak tolak dan tak pernah tolak agenda penyatuan. Janganlah tuduh kita tolak pula,” tegasnya.
Katanya, di sebalik kucah politik yang melanda parti lebih baik BERSATU menumpukan tenaga dan masa untuk terus perkukuhkan Perikatan Nasional.
“MN itu satu cerita lah. Tapi kita sekarang tumpu PN dan perkasakan PN,” katanya.