KOTA BHARU | Walaupun didakwa tiada manifesto yang jelas, namun Kerajaan Persekutuan mempunyai hala tuju untuk menyelesaikan masalah negara termasuk dalam bidang ekonomi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kerajaan sentiasa berusaha untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi ketika ini terutama yang berdepan pandemik COVID-19.
Katanya, kerajaan mempunyai rancangan yang mantap dan sudah disusun termasuk dalam jangka masa pendek, sederhana dan panjang.
“Dalam jangka masa pendek, sudah pasti belanjawan merupakan satu perancangan yang penting yang sudah diumumkan pada 6 November tahun lalu. Dalam belanjawan itu, turut diumumkan pakej rangsangan untuk membantu rakyat berjumlah RM325 bilion.
“Untuk jangka masa sederhana, kita ada Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) walaupun belum dibentangkan lagi di parlimen, namun kita ada beberapa elemen untuk memulihkan ekonomi dan bantu rakyat.
“Untuk jangka masa panjang, kita sudah ada Wawasan Pembangunan Usahawan.
“Untuk pemulihan ekonomi, barisan kabinet pada setiap minggu mengadakan mesyuarat yang membincangkan hala tuju kerajaan. Kerajaan ini terdiri daripada satu warga iaitu UMNO, PAS, MIC, ada MCA, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang sentiasa berbincang untuk pemulihan ekonomi yang berdepan COVID-19,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Program Jelajah Malaysia Prihatin Taklimat Isu Semasa-Pengurusan Pandemik COVID-19 di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Kota di Pengkalan Chepa di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary.
Terdahulu, media melaporkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa Kerajaan PN yang ada sekarang tidak mempunyai hala tuju disebabkan tidak mempunyai manifesto yang jelas.