OLEH SITI AINIZA KAMSARI
KUALA LUMPUR 4 April – Soal pembahagian kerusi atau berebut peluang menjadi calon untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 menjadi soal kedua berbanding saling bekerjasama antara Parti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti PAS di Kelantan.
Ketua Penerangan Bersatu Kelantan, Bahari Mohamad Nor 53 berkata, demi perpaduan orang Melayu supaya tidak berpecah belah akibat persainngan dalam politik, Bersatu sedia berkompromi sekalipun tidak berpeluang untuk menjadi calon.
“Pertama, kita tidak akan dapat mengubah Kelantan itu milik siapa. Pas tiada tandingannya di negeri itu. Kita tidak mungkin dapat mengalah mereka. Adalah silap kononnya Pas boleh dikalahkan di Kelantan.
“Tetapi yang boleh kita boleh bekerjasama dengan PAS di Kelantan. Kerjasama sama ada memastikan PAS beroleh kemenangan atau kekal menang dan parti-parti lain yang bekerjasama dengan mereka pasti akan beroleh kerjasam baik demi rakyat.
“Bagi saya adalah lebih baik menang bersama (walaupun tidak menjadi calon) daripada kalah, kita tidak akan mendapat apa-apa. Ini kerana kuasa sudah terlepas pada orang lain,” katanya.
Beliau ditemui selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Rumah Alumni Universiti Malaya (PAUM) di sini, semalam.
MPT mengadakan mesyuarat yang berlangsung selama hampir tiga jam yang dipengerusikan sendiri oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Bahari yang juga Ketua Bahagian Bersatu Tanah Merah berkata, beliau yang merupakan bekas ahli UMNO dan menjawat jawatan dalam parti berkenaan sebelum ini berharap supaya kerjasama Bersatu dan Pas dalam Perikatan Nasional (PN) dapat terus terjalin dengan baik supaya ia memberikan kemenangan kepada semua pihak.
“Saya tidak bermaksud sebarang kemenangan peribadi atau parti semata-mata tetapi kemenangan PN adalah penting sebagai satu tanda kemenangan rakyat yang selama ini kita idam-idamkan.
“Kemenangan kepada orang Melayu dan Islam untuk kita terus saling bekerjasama dan saya melihat hanya Bersatu dan Pas dapat mentadbirkan Kelantan ini dengan lebih baik lagi,” katanya.
Beliau yakin apabila terdapat kerjasama antara Bersatu dan Pas di peringkat kerajaan Pusat sehingga di kalangan kepimp[nan Pas di berikan jawatan dalam cabinet maka diharapkan di peringkat negeri, Bersatu berpeluang untuk bersama Pas bagi memajukan Kelantan.
“Sekurang-kurangnya di peringkat di Dewan Undangan Negeri (ADUN) di mana-mana bahagian di Kelantan Bersatu berpeluang untuk meletakkan calon.
“Namun sebagaimana yang saya tegaskan tadi, perkara ini adalah soal kedua. Ini kerana PAS masih memerlukan rakan sekutu untuk mempertahankan kemenangan mereka sama ada di peringkat negeri dan pusat,” katanya.
Sebelum ini kata Bahari jurang antara Kelantan dengan kerajaan pusat atau persekutuan adalah sangat jauh.
“Namun sejak adanya pakatan PN ini, jurang tersebut sudah tidak begitu ketara malah akibat wabak Covid 19 yang melanda seluruh negara sekarang, Kelantan turut mendapat keutamaan dari aspek penjagaan dan rawatan kesihatan supaya ia tidak merebak.
“Alhamdulillah Kelantan tidak dianak tirikan. Yang saya rasa berbanding kerajaan pusat sebelum ini, Kelantan pasti sentiasa akan menjadi pilihan terakhir,” katanya.
Tambahnya lagi tiada sebarang sentiment dan isu bagi membolehkan Bersatu dapat diterima di kalangan rakyat Kelantan.
“Rakyat Kelantn semakin mula menerima Bersatu yang sepakat untuk bersama-sama dengan Pas dalam semua hal ehwal rakyat negeri ini,” katanya.
Beliau yakin dengan adanya kerjasama yang lebih erat antara Pas dan Bersatu, Kelantan akan berubah wajah ke arah yang lebih baik lagi.