JEDDAH: Kes kritikal COVID-19 di Arab Saudi meningkat sejak beberapa minggu lalu, mendorong pihak berkuasa mengeluarkan langkah-langkah tertentu bagi mengekang penularan pandemik itu.
Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Leftenan Kolonel Talal Al-Shalhoub berkata, peningkatan itu disebabkan pematuhan yang lemah terhadap langkah pencegahan di samping pelanggaran peraturan.
Beliau memberi amaran, anggota penguat kuasa akan bekerjasama dengan pihak berkuasa lain bagi memastikan pematuhan yang optimum, mengeluarkan denda serta menguatkuasakan penutupan sekiranya diperlukan.
“Individu dijangkiti yang didapati melanggar perintah kuarantin boleh dikenakan denda hingga SR200,000 (RM219,499), dipenjara hingga dua tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan bersalah.
“Mereka yang menyebarkan maklumat palsu mengenai COVID-19 di media sosial boleh didenda dari SR100,000 hingga SR1 juta (RM110,428 hingga RM1.1 juta), hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.
Portal berita Arab News melaporkan minggu lalu, sebanyak 27,083 pelanggaran peraturan dilaporkan dengan 32 peratus daripadanya dilaporkan di Riyadh.- AGENSI