KUALA LUMPUR | Pemulihan pasca Covid-19, kerjasama program vaksinisasi, laluan hijau timbal balik dan persempadanan darat serta pergolakan di Myanmar, antara intipati perbincangan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam lawatannya ke Brunei.
Menerusi perkongsian Facebook rasmi miliknya, Muhyiddin menzahirkan rasa syukur kerana beliau dan isteri, Puan Sri Norainee Abd Rahman, berjaya menyempurnakan lawatan rasmi dua hari ke Brunei.
Katanya, ketika lawatannya, beliau menghadiri majlis menghadap Sultan Brunei, Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan.
“Ini disusuli dengan pertemuan empat mata hampir sejam antara saya dengan Baginda Sultan yang juga merupakan Rundingan Tahunan Pemimpin Ke-23 antara Malaysia dan Brunei.
“Pertemuan berlangsung dalam suasana yang amat baik, malah banyak perkara dibincangkan dan disepakati bersama dengan Baginda Sultan, yang saya sudah kenal lama sejak menjadi Menteri Besar Johor,” katanya.
Muhyiddin juga menyampaikan ucapan tahniah kepada Bagind Sultan selaku Pengerusi ASEAN 2021.
Katanya, Malaysia menyatakan komitmen untuk bekerjasama rapat dengan Brunei dalam pelaksanaan usaha pemulihan serantau pasca pandemik.
“Saya dan Baginda Sultan kemudiannya menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) berhubung kerjasama pengurusan bencana di antara kedua-dua kerajaan, diikuti pemeteraian perjanjian ‘unitization’ di antara Petronas dan Brunei’s National Unitisation Secretariat (BNUS).
“Di akhir lawatan, saya dan delegasi Malaysia amat berbesar hati apabila diraikan dalam majlis santapan rasmi oleh Baginda berdua, yang turut dihadiri kerabat diraja, anggota Kabinet dan para pembesar Brunei Darussalam,” katanya.