KOTA BHARU | Satu kluster baharu penularan bermula di tempat kerja iaitu Kluster Danan dikesan semalam.
Kluster ini melibatkan sebuah sekolah dan sebuah tadika di Kampung Danan, di Pasir Puteh yang mencatatkan sebanyak 17 kes.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin berkata, kes indeks kluster ini membabitkan seorang guru yang dikesan melalui saringan bergejala.
“Sehingga hari ini, seramai 17 kes telah dikesan dalam kluster ini. Pihak pengurusan sekolah perlu memastikan kepatuhan warga sekolah terhadap prosedur operasi standard (SOP) sekolah adalah di tahap yang tinggi bagi memastikan persekitaran sekolah adalah selamat dari penularan COVID-19.
“Saringan suhu badan dan gejala, pemakaian pelitup hidung dan mulut, serta penjarakan fizikal adalah elemen penting dalam menggelakkan penularan COVID-19 di sekolah,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Beliau meminta masyarakat ambil cakna akan keselamatan diri dan sekitar.
Katanya, bulan Ramadan semakin menghampiri dan masih belum bebas sepenuhnya daripada COVID-19.