KUALA LUMPUR | Sokongan MIC kepada kepemimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, akan diteruskan sehingga satu keputusan dibuat Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN) berhubung bentuk kerjasama dengan parti politik tertentu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Susulan itu, MIC yang juga parti komponen BN mewakili masyarakat India di Malaysia akan terus menyuarakan kerjasama kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam merintis pelbagai cabaran sosioekonomi penduduk yang terjejas berikutan pandemik COVID-19.
Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran, berkata pihaknya akan terus bekerja sehingga satu keputusan dibuat Majlis Tertinggi BN dan MIC menghormati keputusan diambil UMNO kerana mereka ialah ‘abang besar’ dalam gabungan ini.
“Kita faham rasional di sebalik keputusan UMNO itu, tetapi yang perlu difikirkan sekarang ialah soal keselamatan, kemakmuran dan hal ehwal kebajikan rakyat. “Politik ialah sebuah institusi yang boleh digunakan untuk pelbagai tujuan, sama ada demi kepentingan diri atau memperjuangkan isu rakyat dan menjaga silaturahim dalam kalangan masyarakat.
“Justeru, manfaatkan tempoh tiga tahun akan datang ini untuk merapatkan semula jurang silaturahim antara masyarakat yang semakin melebar sekarang,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.
Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu (BERSATU), Datuk Seri Hamzah Zainuddin, semalam dilaporkan berkata, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu sebulat suara melantik 12 wakil parti, diketuai Muhyiddin dalam Jawatankuasa Permesyuaratan BERSATU-PAS pada peringkat Pusat bagi merangka strategi menghadapi PRU-15.
Pengumuman itu sekali gus menimbulkan persoalan sama ada BN dan UMNO masih mengambil pendirian untuk membuka ‘pintu’ kerjasama dengan PAS, menerusi Muafakat Nasional (MN) yang dibentuk pada 14 September 2019.
Mengulas pendirian MIC, Vigneswaran berkata, pihaknya tiada masalah untuk bekerjasama dengan PAS, asalkan pergeseran yang berlaku di Kedah tidak berulang.
“Kita semua tahu jika kita menyentuh soal agama, ia bakal mengundang sensitiviti yang amat teruk dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
“Justeru, saya akan mengadakan satu simposium dengan menjemput penyertaan semua parti politik yang mempunyai kaum India, bagi menentukan hala tuju kita seterusnya.
“Kita tidak mahu insiden membabitkan kuil dan menyentuh sensitiviti agama dipermainkan kerana ia bakal mengundang kemarahan dan menjejaskan kemakmuran Malaysia.
“Itu bukan caranya untuk berpolitik dan kita juga tidak mahu meninggalkan legasi sedemikian untuk anak cicit sebagai generasi pelapis negara,” katanya.
BERITA HARIAN.