KUANTAN | Seorang pengamal perubatan tradisional ditembak di rumah sewa di Perumahan Bukit Rangin Perdana 2, di sini, semalam.
Mangsa, Mohamad Abdul Rahim Nasri, 31, meninggal dunia di tempat kejadian.
Memetik Harian Metro, Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian berhubung seorang lelaki tidak sedarkan diri akibat kecederaan di kepala dan kesan darah kering pada jam 11 malam.
Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku di rumah kampung jenis papan yang terletak kira-kira 20 meter dari jalan utama dan 100 meter dari rumah jiran terdekat.
“Ketika kejadian, mangsa berseorangan kerana ibunya berniaga ikan di tapak niaga Bukit Rangin Perdana 2 kira-kira 200 meter dari rumah.
“Mangsa mati disyaki ditembak kerana ada beberapa kesan tembakan pada badan.
“Mangsa yang sudah berkahwin baru saja mendapat anak lelaki dan isterinya kini sedang berpantang di rumah ibu mentua di Pekan. Mangsa tinggal bersama ibunya yang berusia 60 tahun dan menjalankan aktiviti perubatan tradisional,” katanya.
Beliau berkata, hasil siasatan disyaki bermotifkan dendam dan marah kepada mangsa serta kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.