KOTA BHARU | Kelantan mencatatkan dua kluster baharu hari ini iaitu Kluster Jalan Kota Kubang Labu dan Kluster Kampung Palekbang, Tumpat.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Kelantan, Dr Izani Husin berkata, kluster Kampung Palekbang adalah kluster dalam komuniti yang menular ketika majlis pengajian di sebuah surau yang kemudiannya menjangkiti ahli keluarga terdekat.
Katanya, seramai 42 individu disaring dan sebanyak 28 kes dilaporkan positif COVID-19 dalam kluster ini dan ianya tertumpu di daerah Tumpat.
“Manakala kluster Jalan Kota Kubang Labu adalah kluster tempat kerja di mana penularan berlaku dalam kalangan kakitangan sebuah syarikat perantara kewangan di Jalan Kota Kubang Labu.
“Sehingga hari ini, sejumlah 318 individu disaring dan sebanyak 26 kes dilaporkan positif dalam kluster ini yang membabitkan daerah Kota Bharu dan Bachok,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook, hari ini.
Beliau berkata, sebanyak 126 kes dilaporkan hari ini dan sebahagian besar adalah kontak rapat kepada kes sah sebelum ini sama ada kes dalam kluster atau bukan kluster. Manakala satu kematian dicatatkan.
“Tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang rendah dalam kalangan rakyat Kelantan menyebabkan kes meningkat dan meminta rakyat bertanggungjawab untuk mematuhi SOP supaya kes COVID-19 dapat dikurangkan,” katanya.