KUALA LUMPUR: Pasukan Perak FC terus dihimpit kontroversi apabila pengurusan pasukan itu didakwa berdepan masalah dalam pembayaran gaji pemain.
Lebih buruk, dakwaan itu kini tersebar secara meluas di media sosial dan terdapat dakwaan bahawa ada pemain sudah berkira-kira mahu meninggalkan pasukan.
Sekiranya benar, ia sudah pasti menjadi perkara yang memalukan ketika semua pasukan sudah mengharungi proses penswastaan yang secara rasminya bermula musim ini.
Menurut dakwaan daripada sumber pemain, masalah tunggakan gaji itu bukan sahaja membabitkan pasukan Liga Super, malah turut membelenggu pasukan Perak FC II yang beraksi di Liga Perdana. Setakat semalam, sumber itu mendakwa pemain masih belum menerima gaji kira-kira dua bulan bagi Februari dan Mac.
“Pengurusan sepatutnya menjaga kebajikan semua pemain, jika tidak mampu membayar keseluruhan, sekurang-kurangnya bayarlah sebahagian dahulu,” kata sumber itu.
Susulan tersebar isu tunggakan gaji, ada pihak yang menganggap ia sebagai punca skuad Bos Gaurus gagal memberikan persembahan terbaik sama ada untuk Perak FC di Liga Super dan Perak FC II di Liga Perdana.
Perak FC yang juga juara Piala Malaysia lapan kali kini berada di tangga kesembilan Liga Super selepas hanya mengutip lima mata dari enam perlawanan, manakala pasukan sokongan mereka, Perak II di kedudukan kelapan Liga Perdana dengan mengumpul enam mata.
Usaha BH Sukan untuk mendapatkan komen mengenai perkara itu daripada Ahli Lembaga Pengarah Perak FC yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Khairul Shahril Mohamed tidak berjaya selepas beliau tidak menjawab panggilan telefon. BERITA HARIAN