KOTA BHARU | Bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa sekali lagi mendakwa surat sokongan yang ditandatangani oleh pemimpin tertinggi UMNO kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah tulen.
Dalam sesi wawancara Hard Talk: Nasib UMNO selepas Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020, Annuar mendakwa Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengetahui perkara itu.
Katanya, surat tersebut bertarikh 11 Okteber tahun lalu, dan tiga minggu sebelum Pilihan Raya Negeri Sabah, Ahmad Zahid ada membuat satu kenyataan media.
“Presiden (UMNO) menyatakan dan mengesahkan beliau tahu ada ahli-ahli parlimen yang menyokong Anwar dan beliau (Ahmad Zahid) berkata tidak boleh berbuat apa-apa, apa maknanya itu?
“Maknanya Presiden mempunyai ‘knowledge’ tentang siapa yang berhubung dengan Anwar dan memberikan sokongan sebab itu berlaku pada bulan September dan tiga minggu kemudian ada surat hitam putih pada 11 Oktober.
“Anwar melalui suratnya pada 12 Oktober yang disembahkan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah menyatakan beliau mempunyai cukup bilangan 131 kerusi termasuk ahli parlimen UMNO,” dakwanya malam tadi.
Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, surat yang ditandatangani oleh Ahmad Zahid dan beliau tidak pernah dinafikan perkara itu.
Katanya, kalau sekiranya perkara sebesar itu boleh disebut (secara langsung) beliau boleh didakwa kerana mencemarkan nama Presiden UMNO.
“Saya tidak ada niat sedemikian dan hanya menyatakan apa yang diketahui ketika masih lagi memegang jawatan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) dan Muafakat Nasional (MN).
“Malah, saya cukup berhati-hati dengan memeriksa dokumen itu, bertanya kepada beberapa pihak yang berwibawa dan saya yakin 101 peratus surat ini adalah benar.
“Jadi, apakah boleh saya katakan? Adakah saya mesti berbohong, perkara yang saya tahu. Ataupun saya hanya nak menyembunyikan satu perkara yang begitu besar,” soalnya.
Menurutnya, beliau memilih untuk memberitahu setakat apa yang diketahui dan tidak berminat untuk melihat apa tindakan yang dilakukan.
Katanya, prinsip hidupnya adalah mahu bercakap benar, namun perkara itu ‘disenyapkan’ dalam Perhimpunan Agung UMNO dan perwakilan diberitahu tidak pernah ada perundingan.
“Presiden beritahu tidak pernah ada perbincangan, perjumpaan baik rasmi atau tak rasmi. Maka untuk buat masa ini kerana nak menjaga keharmonian dalam parti, kita terima dulu seadanya.
“Kekhuatiran saya ialah sampai bilakah perkara itu tak benar dia akan kekal begitu? Sampai bila surat ini tidak diperbincangkan atau kemungkinan ada tindakan-tindakan yang akan terus dilakukan sekiranya tiada tindakan diambil,” katanya.