KUALA LUMPUR: Persatuan Patriot Kebangsaan (PATRIOT) mencadangkan gelaran darjah kebesaran yang dikurniakan kepada individu yang disyaki terbabit dengan kegiatan jenayah supaya ditarik balik.
Perkara ini susulan peningkatan kes jenayah yang membabitkan penerima darjah kebesaran persekutuan dan negeri termasuk rasuah, pengubahan wang haram, gangsterisme, pemerasan, pergaduhan dan pelbagai lagi jenayah lain.
Ini termasuk pendedahan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador baru-baru ini berhubung pembabitan 35 pegawai dan anggota pelbagai agensi penguat kuasa dengan sindiket penipuan Macau Scam didalangi suspek berpangkat Datuk Seri.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pula sejak beberapa minggu kebelakangan ini melaporkan penangkapan 68 orang yang dipercayai anggota geng dan ada antaranya yang dilaporkan adalah pemegang darjah kebesaran persekutuan atau negeri.
Presiden PATRIOT, Brigadier Jeneral (B) Datuk Mohamed Arshad Raji, berkata darjah kebesaran diberikan persekutuan dan negeri adalah berdasarkan peraturan dan kriteria yang ditetapkan atas budi bicara pemerintah negeri semasa sambutan ulang tahun kelahiran mereka.
“Darjah kebesaran dikurniakan kepada individu yang berhak dan penerima dianggap sudah memberikan khidmat teladan kepada negara dan mempunyai sifat yang baik serta tidak ternama.
“Oleh yang demikian, penerima diharapkan dapat memartabatkan diri dengan kehormatan dan harga diri dan tidak memalukan diri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun, katanya sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat banyak kes jenayah membabitkan penerima darjah kebesaran dan tangkapan dilakukan sama ada oleh pihak polis atau SPRM.
“Perkara ini bukan sahaja memalukan, malah ia merendahkan dan menghina gelaran dan darjah kebesaran yang mereka gunakan.
“Tindakan mereka terbabit dengan kegiatan jenayah jelas merendahkan dan menghina negeri dan pemerintah negeri yang menganugerahkan gelaran dan darjah kebesaran kepada mereka,” katanya.
Untuk mengembalikan dan memelihara kesucian, kehormatan dan integriti anugerah itu, PATRIOT mencadangkan semua darjah kebesaran yang dikurniakan kepada mereka yang disabitkan dengan jenayah supaya ditarik balik dan dilucutkan.
“Imej menunjukkan seorang bergelar Tan Sri, Datuk Seri atau Datuk dengan memakai baju tahanan SPRM berwarna oren dan berhadapan tuduhan jenayah adalah sangat menjijikkan.
“Akhir-akhir ini, imej seperti itu sudah seperti menjadi ciri biasa di media. Apa yang lebih menjijikkan ialah apabila mereka tidak menunjukkan rasa menyesal sebaliknya meninggalkan mahkamah dengan senyuman lebar,” katanya.
Tambah beliau, perkara ini memberi gambaran yang amat tidak baik kepada generasi muda yang memandang tinggi kepada individu yang menerima kurniaan gelaran dan darjah kebesaran.
“PATRIOT menghormati hak negeri dan pemerintah untuk memberikan penghormatan kepada siapa pun yang mereka mahukan.
“Tetapi ada perkara yang perlu dititik beratkan, sama ada penerima yang berintegriti dan memelihara kesucian darjah kebesaran atau penerima yang mencalarkan imej darjah kebesaran itu,” katanya. BERITA HARIAN.