KUALA LUMPUR | Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Fasa 2 akan bermula pada 19 April ini bagi negeri Kedah, Melaka, Pulau Pinang, Pahang, Sabah, Sarawak, Terengganu dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) PICK Fasa 2 bagi negeri-negeri lain akan bermula empat hari kemudian.
Katanya, kumpulan sasaran iaitu warga emas, OKU dan pesakit kronik yang telah mendaftar vaksin telah mula menerima notifikasi tarikh janjitemu menerusi MySejahtera bermula semalam.
“Notifikasi akan dihantar sekurang-kurangnya 14 hari sebelum tarikh temujanji.
“Peringatan menerusi SMS dan panggilan telefon akan dibuat tiga hari sebelum dan sehari sebelum tarikh temujanji.
“Mereka yang telah menyatakan setuju dengan tarikh temujanji yang diberikan, diwajibkan hadir bagi mengelak pembaziran vaksin yang telah dikeluarkan dari tempat simpanan,” katanya menerusi laman Facebook.
Menurutnya, pecahan jumlah pendaftaran fasa kedua membabitkan 1,229,855 warga emas, 115,249 OKU berdaftar dan 1,741,935 individu dengan komorbiditi.