KOTA BHARU | Seorang buruh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini terhadap pertuduhan melakukan kesalahan seksual terhadap tiga kanak-kanak perempuan di sebuah pusat jagaan
di Taman Kemumin antara April 2019 hingga Mac 2021.
Bagaimanapun, tertuduh, Mohd Hamdan Yasin, 38, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan dan mohon dibicarakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Mengikut pertuduhan pertama sehingga keempat, tertuduh didakwa melakukan kesalahan seksual terhadap tiga kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun hingga 13 tahun iaitu memegang payudara serta alat sulit mangsa antara jam 3 petang sehingga 6 petang kejadian April 2019 hingga September 2020 di sebuah rumah pusat jagaan di Taman Kemumin, di sini.
Kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14 Akta yang sama. Jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat.
Pada prosiding yang sama, lelaki itu bersama-sama isterinya, Nor Adila Zakaria, 35, yang juga penjaga pusat. berkenaan didakwa menganiaya seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun sehingga mengalami kecederaan fizikal di pipi dan dada di lokasi yang sama jam 6 petang, pada 17 Mac 2021.
Mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dan minta dibicarakan.
Kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) Akta yang sama dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.
Mahkamah menetapkan 10 Mei akan datang sebagai tarikh sebutan semula kes.