KOTA BHARU | Kelantan membenarkan aktiviti pengimarahan di masjid, surau serta musalla di seluruh negeri sepanjang bulan Ramadan tahun ini.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata pelaksanaan solat sunat tarawih dibenarkan mengikut kapasiti masjid dengan penjarakan fizikal satu meter.
Katanya, Sultan Muhamad V memperkenan kebenaran solat sunat tarawih sebagaimana peruntukan Perkara 6(1) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan.
“Bagi solat sunat Tarawih dibenarkan mengikut kapasiti sebenar masjid, surau dan musolla dengan penjarakan fizikal satu meter dan boleh dilaksanakan sama ada lapan rakaat atau 20 rakaat dengan bacaan surah atau ayat pendek dalam tempoh tidak lebih satu jam tidak termasuk solat Isyak.
“Tazkirah tidak dibenarkan sepanjang pelaksanaan solat sunat Tarawih, manakala tazkirah subuh, asar dan lain-lain adalah dibenarkan dengan penjarakan fizikal satu meter,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau yang juga Tengku Temenggong Kelantan berkata, aktiviti tadarus Al-Quran dibenarkan mengikut kapasiti masjid dengan penjarakan fizikal satu meter dalam tempoh tidak melebihi satu jam.
Katanya, aktiviti Qiamullail juga ibenarkan sepanjang Ramadan dan ia mesti dilakukan satu jam sebelum waktu Imsak.
“Bagi jamuan berbuka puasa, bersahur dan moreh tidak dibenarkan, bagaimana pun masjid, surau dan musolla digalakkan untuk menyediakan menu berbuka, bersahur serta moreh secara bungkus dan diagihkan kepada Jemaah.
“Iktikaf di masjid adalah dibenarkan dengan penjarakan fizikal satu meter. Bermula Ramadan ini, kanak-kanak yang berumur tujuh tahun dan ke atas dibenarkan mengikuti program-program yang diadakan di masjid, surau dan musolla,” katanya.
Menurutnya, pihak MAIK amat mengharapkan kerjasama daripada semua pihak terutama umat Islam secara amnya dalam melaksanakan ketetapan ini.
Katanya, prosedur operasi standard (SOP) hendaklah dipatuhi sepenuhnya oleh pihak pengurusan masjid, surau, musolla.
“Tindakan sewajarnya akan diambil di atas kegagalan untuk mematuhi SOP ini.
“Bersama-samalah kita istiqamah dan yakin bahawa Allah S.W.T pasti membantu dan memperkenankan doa serta harapan kita semua,” katanya.