KUALA LUMPUR | Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan masyarakat bahawa situasi jangkitan COVID-19 di negara ini masih belum stabil, walaupun mula menunjukkan trend penurunan.
Perdana Menteri berkata, semua pihak di negara ini masih perlu kekal bersama untuk mengharungi fasa pemulihan akibat wabak itu serta membantu memulihkan semula ekonomi negara.
“Walaupun jangkitan COVID-19 di Malaysia mula menunjukan trend penurunan, situasinya masih belum stabil.
“Kita sudah bersama-sama berdepan dengan ancaman wabak COVID-19, dan harapan saya agar kita akan terus bersama mengharungi fasa pemulihan akibat wabak ini dan memulihkan semula ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan sempena sambutan Hari Kesihatan Sedunia di Facebook, hari ini. Hari Kesihatan Sedunia disambut pada 7 April sempena sambutan ulang tahun penubuhan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) secara rasmi pada 7 April 1948.
Muhyiddin berkata, sambutan Hari Kesihatan Sedunia pada tahun ini sekali lagi disambut dalam suasana pandemik COVID-19 yang masih melanda Malaysia dan seluruh dunia.
“Sehingga awal April 2021, lebih 130 juta orang di seluruh dunia dijangkiti virus COVID-19 dan mencatatkan lebih 2.85 juta kematian.
“Di Malaysia pula, sebanyak 353,329 kes jangkitan COVID-19 direkodkan sehingga 6 April 2021 dengan 1,300 kes kematian akibat COVID-19 dilaporkan,” katanya.
Dalam pada itu, sempena sambutan Hari Kesihatan Sedunia, Perdana Menteri turut mengambil kesempatan menzahirkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan kesihatan yang bertungkus-lumus berbakti sepanjang negara dilanda pandemik sejak awal tahun lalu.
“Saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih dan syabas kepada seluruh petugas barisan hadapan kesihatan atas usaha dan kerja keras tanpa jemu memberikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik, terutamanya dalam situasi pandemik COVID-19,” katanya.
Selain itu, Muhyiddin turut memberi jaminan bahawa kerajaan kekal komited memastikan semua penduduk di negara ini mendapat akses perkhidmatan kesihatan terbaik.
“Kerajaan Perikatan Nasional (PN) komited dengan usaha untuk pastikan seluruh rakyat Malaysia dan kumpulan bukan warga negara yang menetap di negara ini mendapat akses perkhidmatan kesihatan yang terbaik supaya dapat meneruskan kehidupan yang sempurna.
“Marilah kita bersama-sama menjaga kesihatan diri dan berusaha mengamalkan gaya hidup yang sihat melalui pemakanan atau diet yang seimbang serta melakukan aktiviti riadah dengan lebih kerap,” katanya. BERITA HARIAN.