KUALA LUMPUR | Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menafikan sekeras-kerasnya terdapat perbualan antara beliau dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagaiman ditularkan.
Ahmad Zahid dalam satu kenyataan hari ini berkata, beliau amat kecewa dan terkejut mengenai penyebaran audio yang kononnya merakamkan perbualan antaranya dengan Anwar.
Tegasnya, perbuatan tersebut merupakan satu percaturan politik jahat dan jijik yang hanya mengesahkan usaha berterusan untuk melemahkan dan menghancurkan UMNO.
“Saya menafikan sekeras-kerasnya mengenai adanya perbualan sebagaimana dalam audio rakaman tersebut, malah ingin ditegaskan tiada sebarang perbualan antara saya dengan Datuk Seri Anwar selepas Perhimpunan Agung UMNO (PAU) baru-baru ini.
“Saya percaya lebih banyak lagi permainan keji seperti ini akan dilakukan untuk terus meremehkan dan memusnahkan UMNO,” katanya.
Mengulas lanjut perkara itu, katanya, sebagai Presiden UMNO, beliau tidak akan sesekali mencabuli apatah lagi membelakangi apa jua ketetapan diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan PAU lalu.
“Saya telah mengarahkan pegawai saya untuk segera membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dilakukan untuk mengenal pasti dalang ‘scheme of thing’ ini,” katanya.
Hari ini tular di media sosial berkait video berdurasi 4 minit 17 saat yang didakwa suara mirip Anwar memuji ucapan Ahmad Zahir Hamidi pada PAU lalu.