KOTA BHARU | Bazar Ramadan di Kelantan dibenarkan beroperasi dan perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, bazar Ramadan juga perlu mengikut SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) iaitu perlu penjarakan sosial dan memakai pelitup muka.
Katanya, penjual juga hanya dibenarkan melayan dua orang pelanggan pada satu-satu masa.

“Kita mengingatkan perlu ada penjarakan sosial di bazar Ramadan dan yang paling penting jumlah penjual serta pembeli perlu mengikut kapasiti tempat.
“Peniaga juga hanya boleh melayan dua pelanggan sahaja pada satu-satu masa bagi memastikan penjarakan sentiasa dipatuhi. Mereka yang pergi ke bazar Ramadan juga perlu memakai pelitup muka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Pasar Awam dan Penyerahan Kuarters Kerajaan Bandar Satelit Islam Pasir Tumboh di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Kelantan, Dr Izani Husin dan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga Dan Wanita Kelantan, Datuk Mumtaz Md Nawi.