KOTA BHARU | Bahang Pilihan Raya Umum (PRU) 15 semakin dirasakan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Kelantan sudah mengatur gerak kerja terbaik untuk memastikan kemenangan calon Perikatan Nasional di negeri itu.
Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Kelantan, Mohd Zulkifli Zakaria berkata, pihaknya sudah mengarahkan bilik gerakan Parlimen dibuka.
“Setiap ketua-ketua bahagian di negeri Kelantan juga sudah diarahkan untuk membentuk jentera pilihan raya di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Selain membuka bilik gerakan, mereka juga perlu membuat persiapan perlantikan portfolio pilihan raya di bermula sekarang,” katanya ketika ditemui Journal Malaysia, Mesyuarat Bulanan Badan Pimpinan Negeri di Pejabat BERSATU Kota Bharu di sini, malam tadi.
Beliau yang juga Ketua Bahagian BERSATU Bachok berkata, dalam mesyuarat itu juga, ada pihak yang membangkitkan sejauh mana hubungan kerjasama antara BERSATU dengan PAS.
“Alhamdulillah, hubungan kita dengan PAS baik dan tiada halangan dan insya-Allah selepas jentera pilihan raya BERSATU dibentuk, kita akan membentuk jentera di peringkat Perikatan Nasional (PN).
“Jadi jentera pilihan raya PN di peringkat nasional akan dibentuk daripada negeri turun ke parlimen dan insya-Allah ke DUN. Jadi masalah-masalah lain tidak dibangkitkan,” katanya.
Mengulas mengenai pembahagian kerusi, Zulkifli berkata perkara itu diluar bidang kuasa negeri dan akan ditentukan di peringkat Persekutuan.
“Pembahagian kerusi dan masalah calon juga kita serahkan kepada Presiden Parikatan Nasional. Manakala kita di negeri lebih tertumpu kepada persiapan menghadapi PRU 15,” katanya.