KOTA BHARU | Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menetapkan RM7 sebagai kadar zakat fitrah di negeri ini pada tahun ini.
Yang Dipertua MAIK, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, walau bagaimanapun mana-mana individu yang berkemampuan boleh membuat bayaran RM14 atau RM21 mengikut harga beras yang dimakan.
Katanya, kadar bayaran zakat fitrah dan kadar nisab zakat harta negeri tahun ini mendapat perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.
“Kadar Nisab Zakat Harta bagi Negeri Kelantan ialah sebanyak RM20,520 untuk haul antara Ramadan tahun 1442H hingga Ramadan tahun 1443H,” katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.
Katanya, pembayaran zakat boleh dilaksanakan melalui perkhidmatan Kaunter Baitulmal di masjid bandar, jajahan atau menerusi MAIK e-Zakat Payment di www.e-maik.my.
“Selain itu, bayaran juga boleh dibuat menerusi institusi perbankan yang dilantik MAIK sebagai ejen kutipan zakat termasuk Bank Islam Malaysia Berhad, CIMB, RHB, AmBank, Maybank dan Bank Rakyat.
“Pihak MAIK berharap kerjasama daripada semua pihak untuk mengambil maklum tentang ketetapan ini. Bersama-sama kita menghidupkan Ramadan dengan amalan soleh dan tanggungjawab berzakat sebagaimana difardukan.
“Saya bagi pihak MAIK mengucapkan
selamat menunaikan ibadah Ramadan buat semua umat Islam,” katanya.