KOTA BHARU | Kerajaan Negeri Kelantan menyambut baik penjajaran semula projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) ke laluan asal.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, keputusan itu akan merancakkan lagi ekonomi negeri ini apabila lebih ramai rakyat dapat berniaga di luar Kelantan.
Katanya, Kelantan menerima sahaja keputusan penjajaran semula asalkan pembinaan ECRL itu sampai ke negeri ini dan memberi manfaat kepada rakyat.
“Pembinaan ECRL ini bukan saja ada menyediakan koc penumpang, malah turut ada koc kargo untuk memudahkan penghantaran barang-barang.
“Rakyat kelantan akan rajin meniaga dengan adanya ECRL kerana dia akan membabitkan pihak luar yang lebih luas lagi.
“Ekonomi negeri ini juga akan jadi lebih rancak dan akan lebih ramai lagi yang berniaga dengan membawa barang ke luar Kelantan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Pasar Awam dan Penyerahan Kuarters Kerajaan Bandar Satelit Islam Pasir Tumboh di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan penjajaran semula projek ECRL ke laluan asal adalah langkah tepat kerana mempunyai integrasi jalinan hubungan yang baik dengan pengangkutan awam lain.
Pengarah UniKL Asia Rail Centre, Dr Azman Senin berkata, jajaran asal ECRL akan turut merancakkan pergerakan kargo dan penumpang, termasuk pelancongan khususnya di Pahang serta Kelantan.