KOTA BHARU | Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Mohamed Farid Zawawi berpandangan Kelantan bakal menjadi negeri tumpuan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 15 nanti kerana peluang Perikatan Nasional (PN) untuk memenangi kesemua 14 kerusi Parlimen di negeri itu.
Ketua Bahagian BERSATU Kota Bharu itu berkata, hal itu kerana PN semakin kukuh selepas Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020.
“Jalinan kerjasama politik antara BERSATU dan PAS semakin mesra dan telus, dan saya yakin boleh membawa kemenangan besar dalam PRU15 nanti. Malah Kelantan boleh menyumbang 14 kerusi Parlimen kepada PN sekiranya calon berwibawa (winnable) terpilih.
“Sama juga situasi di Terengganu dan Kedah, tiga negeri ini sepatutnya menjadi tumpuan kerana kekuatan PN untuk memenangi hampir semua kerusi parlimen,” katanya kepada Journal Malaysia.
Beliau berkata, jika dahulu Sabah dan Sarawak selalu disebut sebagai ‘fixed deposit’ kepada UMNO, namun politik sekarang sudah berubah dengan percaturan baharu.
Katanya, Kini Kelantan, Terengganu dan Kedah adalah ‘fixed deposit’ baharu untuk kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menerajui PN.
“Namun untuk pastikan kekuatan PN dapat diterjemahkan agar memperoleh kemenangan besar dalam PRU 15 nanti, gerak kerja akar umbi harus konsisten dan berkesan dalam menyantuni rakyat.
“Bagi BERSATU Bahagian Kota Bharu, Alhamdulillah segala gerak kerja telah mendapat penerimaan yang sangat baik dari segenap lapisan masyarakat dan jentera PRU Bahagian Kota Bharu sudah tertubuh serta bergiat aktif,” katanya.




Mohamed Farid berkata, pihaknya juga sudah menyusun pelbagai program sepanjang Ramadan dalam usaha untuk menyantuni rakyat.
“Kebanyakkan program yang akan dibuat nanti bersifat kerohanian dan keagamaan dan ianya sesuai dengan bulan yang penuh keberkatan bagi umat Islam, khususnya di Kota Bharu.
Menurutnya lagi, situasi politik semasa yang berlaku tidak merugikan BERSATU malah memberi peluang untuk PN mengukuhkan kedudukan dalam masyarakat.
“Peluang juga terbuka untuk tokoh-tokoh baru bersama di dalam “mainstream politic” negara, dan kita di BERSATU tidak kurang tokoh berwibawa yang boleh diketengahkan.
“Kekosongan yang ditinggalkan UMNO akan dimanfaat sepenuhnya seperti kata pepatah, patah tumbuh hilang berganti,” katanya ketika meraikan pendaftaran pelajar tingkatan 4 di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pengkalan Chepa.
Dalam majlis yang sama, Mohamed Farid yang juga Ahli Majlis MARA menyeru pelajar baharu agar menggunakan peluang sebaik mungkin ketika belajar di MRSM.
Katanya, gunakan peluang menimba ilmu di MRSM dan seterusnya menjadi warga yang berguna dan dapat berbakti kepada negara.
“MRSM adalah manifestasi kerajaan dalam usaha memacu kemakmuran bumiputera dari sudut pelajaran dan pembaikan modal insan.
“Saya ingin berpesan, ilmu yang tinggi, kedudukan bumiputera akan lebih terjamin dan selesa di negara bertuah ini,” katanya.