KOTA KINABALU: Bazar Ramadan tidak dibenarkan beroperasi di Sabah sepanjang Ramadan tahun ini yang bermula minggu depan, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun.
Beliau berkata, keputusan itu mengambil kira situasi semasa penularan COVID-19 di Sabah yang masih membimbangkan berikutan banyak kluster baharu berpunca daripada majlis sosial sejak kebelakangan ini.
“Memandangkan penyakit COVID-19 di Sabah masih dalam keadaan tidak stabil dan berlaku beberapa kluster akibat penganjuran majlis sosial dan keramaian, selain tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang rendah, kerajaan negeri mengambil keputusan tidak membenarkan aktiviti Bazar Ramadan tahun ini,” katanya dalam kenyataan media perkembangan harian COVID-19 Sabah, malam tadi.
Masidi yang juga jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, berkata semalam saja sebanyak 60 kes baharu COVID-19 dikesan dengan Tawau kekal penyumbang tertinggi iaitu 41 kes. Sehingga kini, katanya, Sabah mencatat 55,294 kumulatif kes, manakala seramai 54,297 orang kumulatif pesakit sembuh, termasuk 53 orang dibenarkan keluar hospital semalam.
Sementara itu, beliau berkata, tujuh daerah tidak mencatat sebarang kes aktif atau berada dalam zon hijau berikutan pertambahan satu lagi kawasan iaitu Sipitang, semalam.
Enam daerah selebihnya dalam zon hijau ialah Tongod, Kuala Penyu, Ranau, Telupid, Pitas dan Beluran.
Bagaimanapun, katanya, enam daerah kekal zon merah iaitu Tawau, Lahad Datu, Kota Kinabalu, Kunak, Keningau dan Kinabatangan, manakala tiga daerah dalam zon jingga iaitu Penampang, Nabawan dan Kalabakan.
Baki 11 daerah lagi berada dalam zon kuning dengan kebanyakannya tidak mencatat sebarang kes baharu semalam kecuali satu kes di Sandakan dan empat kes di Tuaran. BERITA HARIAN.