DULU-dulu 20 sen segelas dan kemudian air kosong sama ada suam atau sejuk naik jadi 30 sen, 40 sen dan ada yang sampai 50 sen.
Namun, kalau dijual sampai lebih RM1 segelas itu sudah dikira melampau tak kira kafe secantik mana pun.
Realitinya memang ada yang menjual harga tersebut dan awas, mereka dalam pemerhatian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor.
Sejak operasi khas dilakukan mulai kelmarin, 12 notis dikeluarkan KPDNHEP terhadap peniaga premis makanan dan minuman di negeri itu kerana menawarkan air kosong melebihi penetapan harga iaitu RM1 setiap gelas.
Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhammad Zikril Azan Abdullah berkata notis dikeluarkan susulan Ops Catut 8.0 (air kosong) yang sedang dijalankan terhadap restoran mewah, biasa, makanan segera, francais dan kedai makan serta warung di seluruh negeri ini bermula 7 hingga 15 April ini.
“Peniaga-peniaga yang dikenakan notis itu diberi tempoh masa selama dua hingga lima hari bekerja untuk membekalkan maklumat diarahkan,” katanya dalam kenyataan hari ini seperti dilapor BERNAMA.
Muhammad Zikril Azan berkata operasi tersebut dilaksanakan ekoran terdapat rungutan diterima daripada pengguna berhubung caj air kosong yang agak tinggi di premis makanan dan minuman berlaku di sekitar negeri ini.
Katanya, pengguna di Selangor yang ingin menyalurkan aduan boleh melayari portal e-aduan@kpdnhep.gov.my, e-mel e-aduan@kpdnhep.gov.my, menghubungi pusat panggilan 1800 886 800 atau WhatsApp 019- 279 4317.