KOTA BHARU | Sebagaimana jangkaan, kes harian Covid-19 di Kelantan hari ini terus meningkat, melonjak kepada angka 143.
Berdasarkan perkongsian facebook Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, 137 melibatkan kes tempatan, empat kes penjara manakala dua lagi kes import B.
Berbanding semalam, sebanyak 87 kes baharu yang direkodkan.
Pertambahan tersebut boleh dikatakan amat membimbangkan apatah lagi dalam tempoh empat hari untuk menyambut Ramadan.
Pelbagai kemungkinan boleh berlaku. Sama ada operasi bazar Ramadan akan dibatalkan ataupun kebenaran solat tarawih ditangguhkan. Itu sekadar jangkaan.
Apa-apa pun doakan kes harian akan kembali berkurangan dan kembali mencatatkan satu angka, yang pastinya terus kekal jaga prosedur operasi standard selain disiplin kendiri. Itulah vaksin paling mujarab.
Pasir Mas mencatatkan paling tinggi iaitu 40 kes, 37 di Kota Bharu, 34 di Tumpat 12 di Pasir Puteh dan lima di Jeli.
Di Machang pula lima kes, empat di Kuala Krai dan dua di Bachok.
Tujuh daerah di Kelantan masih diisytiharkan zon merah iaitu, Kota Bharu, Bachok, Tumpat, Pasir Puteh, Machang, Pasir Mas dan Tanah Merah.
Tiada zon hijau yang direkodkan dan Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang berada dalam zon kuning.