MELBOURNE | Bekas pengetua wanita sekolah ultra-ortodoks Yahudi menghadapi 74 tuduhan penderaan seksual kanak-kanak.
Lapor AFP, Malka Leifer yang memiliki dwinkerakyatan Israel-Australia diekstradisi ke Australia pada Januari, akan terus berada dalam tahanan sementara menunggu prosiding praperbicaraan pada September.
Suspek melakukan kesalahan itu ketika berkhidmat sebagai guru pengajian agama dan pengetua di Sekolah Adass Israel di Melbourne.
Wanita terbabit yang muncul melalui pautan video di Mahkamah Majistret Melbourne, tidak memohon jaminan dan akan tetap berada dalam tahanan menjelang perbicaraan lima hari yang dijadualkan bermula 13 September ini.
Leifer hanya bercakap sekali untuk mengesahkan bahawa dia dapat mendengar prosiding.
Mahkamah diberitahu, praperbicaraan itu nanti akan menentukan sama ada Leifer akan dibicarakan di mahkamah yang lebih tinggi, yang akan mendengar keterangan daripada 10 saksi di mana beberapa orang daripadanya adalah daripada Israel.
Menurut kertas tuduhan, dia didakwa memperkosa, melakukan serangan tidak senonoh dan penderaan seksual kanak-kanak yang berlaku antara 2004 hingga 2008.
Mangsa adalah tiga saudara perempuan Nicole Meyer, Dassi Erlich dan Elly Sapper yang secara terbuka menuntut Leifer didakwa.
Leifer, yang kini berusia 50-an, melarikan diri dari Australia ke Israel selepas tuduhan terhadapnya timbul pada 2008, dan berpindah bersama keluarganya ke penempatan Emmanuel di Tebing Barat.
Pihak berkuasa Australia mengemukakan pendakwaan pada 2012 dan memohon dia diekstradisi dua tahun kemudian.
Dia tiba di Melbourne melalui penerbangan pada akhir Januari selepas enam tahun terbabit dalam pergelutan undang-undang di Israel, termasuk persoalan sama ada dia berpura-pura sakit jiwa untuk mengelakkan perbicaraan di Australia.
Mahkamah Agung Israel menolak rayuan terakhir peguamnya terhadap perintah ekstradisi pada Disember lalu.
Percubaan ekstradisi pertama gagal selepas Leifer dimasukkan ke institusi kesihatan mental dan pakar menyatakan dia tidak layak untuk dibicarakan.
Penyiasat persendirian yang menyamar kemudian merakamkan dia menjalani kehidupan normal, yang mendorong pihak berkuasa Israel menjalankan siasatan sama ada dia memalsukan penyakit mental, menyebabkan dia ditangkap semula pada Februari 2018.