IPOH: Kerajaan masih tetap tidak membenarkan pengambilan pekerja asing untuk sektor perladangan ke negara ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata sehingga ini dasar tidak membenarkan pekerja asing ke dalam negara masih kekal.
“Pada ketika ini kita sudah mempunyai permintaan sebanyak 40,000 pekerja pekerja asing dari syarikat-syarikat untuk keperluan dalam sektor perladangan.
“Cuma kita belum ada dasar membuka pintu pekerja asing masuk sempadan, ini adalah kerana kita perlu mengikut data saintifik yang ada di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) (mengenai pandemik COVID-19),” katanya.Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Malaysia Prihatin di Dewan Serbaguna Bandar Baru Tambun, di sini hari ini.
Hamzah berkata, pihaknya akan memastikan prosedur operasi standard (SOP) diperketatkan sekiranya kemasukan tenaga kerja asing itu dibenarkan. “Contohnya, kalau kita hendak membenarkan orang (tenaga kerja asing) masuk kita akan buat ujian dahulu, namun isunya siapa yang patut membayar kos vaksinasi berkenaan.
“Kemudian apabila (tenaga kerja asing) sudah masuk dan dikuarantin selama 14 hari, siapa pula yang perlu membayar dan sebaik sudah dibebaskan adakah semua adakah majikan sudah bersedia untuk meletakkan pusat perumahan yang mencukupi untuk pekerja-pekerja ini,” katanya.
Justeru, beliau berkata, ia tidak menjadi masalah sekiranya kesemuanya pekerja asing itu dapat mengikuti SOP yang sudah ditetapkan.
“(Jika) mereka boleh mengikut SOP disediakan, jadi saya rasa tidak salah untuk mereka ini diberikan masuk,” katanya.BERITA HARIAN.