SUBANG JAYA: Kedudukan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO kini ‘sangat goyah’, susulan tersebar rakaman perbualan telefon yang didakwa antaranya dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, mendakwa rakaman audio itu menyebabkan ramai individu dalam parti itu tidak selesa, khususnya terhadap kandungan perbualan berkenaan.
Sehubungan itu, katanya, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO perlu segera bersidang dan membincangkan perkara itu serta memberi mandat kepada ahli UMNO untuk menentukan barisan kepemimpinan baharu dengan melaksanakan pemilihan parti secepat mungkin.
“Ramai individu dalam parti yang sangat tidak selesa dengan rakaman perbualan telefon yang didakwa antara Presiden UMNO dan Anwar. “Saya berpandangan kedudukan Zahid sebagai Presiden UMNO kini bertambah goyah. Kedudukan beliau sangat goyah.
“MKT perlu bersidang segera dan membenarkan pemilihan parti diadakan. Langkah terbaik untuk UMNO adalah mengadakan pemilihan parti sekarang,” kata Ahli Parlimen Rembau itu pada sidang media di sini, hari ini.
Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi diminta mengulas penyebaran audio perbualan mirip suara Ahmad Zahid dan Anwar yang mula tersebar sejak Selasa lalu.
Kandungan itu, antara lain memaparkan perbualan di antara dua individu yang berkisar soal perjalanan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) baru-baru ini, yang menyentuh pendirian UMNO untuk tidak bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), PKR, DAP dan Anwar dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, dipersetujui sebulat suara perwakilan PAU.
Dalam audio itu, turut disentuh mengenai pendirian menteri dari UMNO yang didakwa kedua-duanya tidak berani untuk meletakkan jawatan menteri yang disandang mereka.
Kedua-dua individu dalam audio berdurasi 4.16 minit berkenaan, turut menyentuh mengenai pendirian MKT UMNO mahu Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan segera, serta persetujuan Ahmad Zahid diberi kuasa oleh perwakilan PAU untuk menentukan tempoh masa menarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Rabu lalu, Ahmad Zahid dalam satu kenyataan menafikan wujudnya perbualan seperti dalam rakaman audio berkenaan, yang disifatkan sebagai percaturan politik jahat dan jijik untuk melemah dan menghancurkan UMNO.
Semalam, Anwar yang juga Ketua Pembangkang, turut tampil menafikan dirinya adalah pemilik suara dalam rakaman perbualan telefon itu, dan mengarahkan pegawainya membuat laporan polis bagi menyiasat dalang di sebalik penyebaran rakaman audio berkenaan.
Sebelum ini, Khairy dilaporkan menggesa menyegerakan pemilihan parti itu sebelum PRU-15 jika ia mahu menyelesaikan kemelut dalaman yang membelenggu parti sejak beberapa bulan lalu. BERITA HARIAN.