KOTA BHARU | Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas 558 helai baju T dan 154 pasang kasut jenama terkenal dengan nilai keseluruhan anggaran RM47,750 di Kota Bharu dan Pasir Mas, semalam.
Operasi Bersepadu jam 9 pagi antara KPDNHEP Kota Bharu bersama Pasukan Polis Marin, Wilayah 3, Pengkalan Kubor dilakukan di tiga premis.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri KPDNHEP Negeri Kelantan, Azanizam Affendi Juri berkata, serbuan pertama di premis percetakan pakaian di Simpang 4,Tendong Pasir Mas menemui 260 helai baju T jenama terkenal dengan nilai rampasan anggaran RM6500.
Katanya, serbuan kedua di premis percetakan pakaian di lokasi Kampung Rupek, Pendek mengesan sebanyak 298 helai baju T jenama terkenal pelbagai warna dan saiz dengan nilai rampasan RM7450.
“Serbuan ketiga di premis menjual pakaian di Kota Bharu, pasukan operasi berjaya mengesan sebanyak 154 pasang kasut berjenama pelbagai saiz dan warna dengan nilai rampasan sebanyak RM33,800.
“Tiga pekerja lelaki berusia 20-an yang mengaku sebagai pekerja di tiga premis perniagaan itu ditahan bagi siasatan lanjut,” katanya di sini, hari ini.




Beliau berkata, modus operandi peniaga dengan membuat belian dari luar negara dan mencetak pakaian berjenama terkenal seterusnya menjual secara dalam talian.
Katanya, operasi oleh 10 Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Kota Bharu dan empat Pegawai Pasukan Polis Marin Wilayah, Pengkalan Kubor serta dua wakil pemilik cap dagang dilaksanakan bagi membanteras aktiviti jualan barangan tiruan, penggunaan cap dagangan tanpa kelulusan dan tanpa kebenaran.
“Kes disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019 kerana disyaki melakukan kesalahan iaitu mempunyai dalam milikan jagaan dan kawalan bagi maksud perdagangan.
“KPDNHEP Kelantan memberi amaran kepada individu atau peniaga yang melakukan aktiviti tidak bermoral supaya menghentikannya segera bagi mengelakkan tindakan tegas diambil,” katanya.