RANTAU PANJANG | Ayam sejuk beku, pelbagai jenis sosej, buah-buahan dan sayur-sayuran yang bernilai lebih RM47,000 dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, di sini, kelmarin.
Operasi antara jam 5 hingga 7 petang itu merampas barangan tanpa permit import yang sah dengan jumlah keseluruhan sebanyak 11,068 kilogram (kg).
Pengarah MAQIS Negeri Kelantan, Roslan Che At berkata, Operasi Pematuhan Import/Eksport Keluaran Pertanian itu menahan tiga lori dan hasil pemeriksaan menemukan sebanyak 7,212 kg keratan ayam sejuk beku bernilai RM36,060; 1,710 kg pelbagai jenis sosej dianggar bernilai RM7,695 dan 2,106 kg pelbagai jenis sayur-sayuran dan buah-buahan yang berjumlah RM3,274.
“Modus operandi mereka menyembunyikan barang dagangan bersama sayur-sayuran dan buah-buahan yang diikrar secara sah yang cuba dibawa masuk dari Thailand ke Malaysia.
“Kesalahan itu disiasat di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda dibawah Seksyen 11(3) Akta yang sama.
“Turut ditemui bawang merah yang tidak mematuhi syarat import iaitu suatu kesalahan di bawah Seksyen 15(1) Akta 728 yang boleh didenda di bawah Seksyen 15(2) Akta yang sama,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya .
Katanya, MAQIS komited dalam memastikan tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian, mikroorganisma dan makanan yang diimport dan dieksport bebas daripada ancaman perosak, penyakit, bahan cemar serta tidak menjejaskan sektor pertanian negara.