KOTA BHARU | Tinggal empat hari sahaja lagi umat Islam akan menunaikan rukun Islam yang keempat iaitu berpuasa di bulan Ramadan, bulan penuh keberkatan.
Kali ini merupakan tahun kedua, masyarakat akan mengimarahkan ibadat puasa dalam suasana normal baharu dek kerana negara masih berperang menangani pandemik Covid-19.
Pun begitu, rakyat di negeri Kelantan meluahkan kesyukuran kerana Majlis Agama Islam dah Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) membenarkan solat tarawih diadakan dalam tempoh satu jam di masjid-masjid dengan pematuhan prosedur operasi yang ketat.
Meskipun masjid dan surau tidak semeriah sebelum pandemik berlaku, para jemaah masih lagi dapat menikmati suasana moreh namun dalam suasana berbeza kerana makanan hanya dibenarkan diagihkan secara bungkus.
Bersyukurlah, kita masih boleh mencari pahala bersedekah dengan menyediakan juadah secara berbungkus. Yang penting hati kita ikhlas menderma. Insyallah… Hanya ALLAH SWT yang menentu segalanya.
Selagi berpeluang beramal, bersedekah, buatlah dengan apa cara sekalipun sebelum terlambat. Sebelum tubuh badan dibungkus dengan kain putih, kaku tidak bernyawa lagi. Sebelum menyesal tidak kesudahan. Sebelum lafaz terakhir…Innalillahhiwainnailaihirrojium.
Selain itu, setiap kali puasa juga pastinya berduyun-duyun memenuhi bazar Ramadan, yang tidak suka tempat sesak pun akan terpengaruh, apa tidaknya nafsu ketika puasa sangat berbeza pada hari lain. Betulkan?
Melihat bermacam aneka kuih-muih, minuman yang pelik-pelik dengan campuran bahan menggoda tekak yang dahaga sejak pagi lagi dan juga bauan lauk-pauk di bazar Ramadan memang menguji keimanan. Kalau tak percaya tunggu 1 Ramadan nanti, cuba jengok bazar Ramadan.
Keterujaan menyambut Ramadan sudah lama bersinar dalam hati, berbulan-bulan dah, meskipun masih dalam edah pandemik Covid-19. Kita sudah terfikir bazar Ramadan mana nak tuju kalau kerajaan benarkan aktiviti berniaga.
Legalah kita, apabila semalam Kerajaan Kelantan mengumumkan membenarkan urusniaga bazar Ramadan dengan menghadkan dua orang pelanggan sahaja dibenarkan membeli juadah berbuka di sesebuah gerai. Itupun masih ada suara sumbang.
Journal Malaysia turut menasihatkan masyarakat untuk terus mendisiplinkan diri supaya tidak wujudnya Kluster Bazar Ramadan dan Kluster Tarawih. Beringat semua sebelum peluang yang ALLAH SWT hidangkan ini direntap semula. Nauzubillah.
Dalam keterujaan menyambut Ramadan juga, ayuh sejenak kita renungkan pengisian Kutbah Jumaat disediakan MAIK hari ini yang bertajuk Persediaan Menyambut Ramadan.
Bergema di seluruh Kelantan hari ini, Jumaat terakhir bulan Syaaban sebelum menyambut Ramadan yang mana umat Islam diseru supaya mempersiapkan diri untuk melaksanakan ibadat puasa dengan sempurna.
“Kita mesti mempelajari hukum hakam dan adat berpuasa baik dari segi amalan hati dan sebagainya agar amalam puasa serta ganjaran pahala tidak terbatal,” memetik kutbah.
Kutbah juga mengingatkan umat Islam supaya menjauhi diri daripada membuat maksiat dan perkara yang diharamkan dalam Islam baik daripada tindakan atau tutur kata.
“Marilah kita memohon kepada ALLAH SWT dipanjangkan umur, dikurniakan sihat tubuh badan dan rohani serta diberikan taufik kepada kita sehingga kita mampu menunaikan puasa di bulan ramadan dengan sempurna dan solat berjemaah dan bertawarih,” kata kutbah tersebut.