MELAKA | Setiap kerajaan negeri disarakan untuk mewujudkan Loji Rawatan Kumbahan Serantau di zon industri masing-masing bagi mengawal pembuangan sisa kumbahan industri secara lebih teratur dan selamat, lapor Bernama.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata loji berkenaan akan berfungsi sebagai sistem pembetungan berpusat atau bersepadu untuk rawatan sebelum ia disalurkan ke sungai atau kawasan pembuangan sisa kumbahan industri yang ditetapkan.
“Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) sedang merangka untuk mewujudkan satu sistem supaya sisa industri dirawat sebelum dibuang dan satu daripadanya menerusi pembinaan Loji Rawatan Kumbahan Serantau ini.
“Justeru, kami harap negeri yang terbabit perancangan melaksanakan zon kawasan industri terus mengambil mekanisme ini dalam pelan pembangunan kawasan industri mereka dan inisiatif ini akan memudahkan pemantauan dilakukan Jabatan Alam Sekitar (JAS), sekali gus membantu mengawal pencemaran dari hanya satu sumber saja,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sambutan Melaka Bumi Lestari Sempena Hari Air Sedunia, Hari Hutan Antarabangsa dan Hari Bumi peringkat negeri, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Daerah, Luar Bandar, Pengurusan Banjir dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Seri Idris Haron.
Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang mahu membantu KASA menganjurkan persidangan peringkat kebangsaan bagi membincangkan isu perubahan iklim hanya sekadar retorik politik bagi mencari publisiti.
Beliau berkata, KASA melaksanakan pelbagai program untuk menangani atau memantau isu berkaitan perubahan iklim dan pencemaran yang berlaku di negara ini.
“Jika ingin membantu, Guan Eng perlu menyelesaikan beberapa isu alam sekitar di Pulau Pinang terlebih dulu seperti pencemaran Sungai Kereh ekoran aktiviti penternakan babi, selain pelepasan karbon di kawasan kilang di negeri itu,” katanya.