“Terima kasihlah hantarkan katil khas ini untuk suami saya, memang sangat tak selesa tidur di kerusi, tapi apakan daya kami tak mampu beli katil seperti ini,” kata Siti Norliza Yusof.
Kata-kata tersebut diluahkan Siti Norliza kepada sukarelawan Kelab Kebajikan dan Sukarelawan Sosial (KELSS) yang tampil membantu keluarganya di Kampung Jenereh Bongkok, Machang.
Dek kerana kesempitan hidup, Norliza berkata, suaminya Mohd Zakri Haron 52, terpaksa menahan derita kerana perlu tidur di atas kerusi rehat sejak setahun lalu.
“Suami kena tidur dalam keadaan agak menegak sebab dia tidak boleh tidur seperti orang biasa sejak setahun lalu, kaki menjadi kejang membengkok tidak dapat diluruskan,” katanya sebagaimana perkongsian KELSS.
Wanita tabah itu juga berkata, suaminya turut disahkan menghidap masalah buah pinggang, jantung dan paru-paru menyebabkan dia tidak dapat lagi berniaga seperti dulu.




Betapa hebatnya dugaan dihadapi Norliza, dia kini menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga bagi menyara lima anak yang masih belajar.
YA ALLAH…Semoga keluarga ini tabah dan perluaskan rezekinya. Tiada insan yang mahu hidupnya susah sebegini.
Bagi menyara keluarga, Norliza kini meneruskan perniagaan kecilannya di halaman rumah sewa mereka itu dengan menjual ayam segar dan sayuran selain membuat penghantaran ke rumah pelanggan di sekitar Pulai Chondong.
Norliza menarik nafas lega apabila KELSS mewakili seorang hamba ALLAH telah menyampaikan katil khas yang diwakafkan dan juga menerima wang tunai.
Mereka yang ingin membantu boleh menghubungi Norliza di talian 0178181614 dan menyokong perniagaannya dengan membeli barangan jualannya di kediaman ibu tabah itu.