TUMPAT | Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) memperuntukkan RM306,646 untuk Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah dalam usaha melahirkan para huffaz yang profesional.
Yang Dipertua MAIK, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata daripada jumlah itu sebanyak RM126,000 akan digunakan untuk menaja 10 orang pelajar di maahad tahfiz berkenaan selama tempoh tiga tahun.
Menurutnya, idea penubuhan maahad tahfiz berkenaan adalah hasil daripada lawatan kerja ke negara Turki bersama kerajaan negeri Kelantan pada pertengahan tahun 2019.
“Sebagai permulaan, MAIK akan menaja seramai 10 pelajar dan setelah tamat pengajian di sini, mereka akan menyambung pelajaran mereka di negara Turki yang akan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Turki,”katanya dalam titah sempena Majlis Perasmian Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Yang Dipertua MAIK, Zulkifle Ab Rahman, Setiausaha MAIK, Muhamad Rasani Ramli dan Pengerusi Lembaga Maahad Tahfiz Al-Quran Sulaimaniyyah Malaysia, Datuk Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir.
Mengulas lanjut, Mohamad Rizam berkata, bagi menyiapkan pembinaan bangunan maahad tahfiz berkenaan, MAIK melalui Wakaf Tunai Am telah menyalurkan sebanyak RM49,000 dimana Wakaf Tunai Am itu adalah sebahagian produk wakaf MAIK.
“Selain itu MAIK juga telah memperuntukkan wang zakat berjumlah RM56,646 dan peruntukan baitulmal bernilai RM75,000 kepada maahad terbabit untuk pembelian perabot, pendingin hawa serta penyelenggaraan lain.
“MAIK juga ingin merakamkan penghargaan khusus kepada Mat Razi Mat Ali yang telah mewakafkan tanah beliau untuk dijadikan tapak maahad tahfiz berkenaan selain usaha untuk mendapatkan dana sekaligus dapat menyempurnakan pembinaan maahad tahfiz ini,”katanya.
Mohamad Rizam juga berkata, MAIK berharap usaha yang jitu daripada pelbagai pihak dalam membangunkan maahad tahfiz yang dibina itu dapat menjadi sebahagian produk wakaf di negeri Kelantan sekaligus berharap ia dapat menjadi ‘pioneer project’ kepada pembangunan sekolah wakaf di Kelantan dan di Malaysia amnya.