KOTA BHARU | Parti Amanah Negara (AMANAH) tidak menganggap rakaman suara mirip Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai isu besar yang boleh menggangu parti.
Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad berkata, perkara itu (rakaman audio), sudah dinafikan oleh kedua belah pihak dan sepatutnya sudah tidak ada sebarang perbincangan lagi.
“Saya pun rasa pelik juga apabila mereka (Ahmad Zahid dan Anwar) menafikan, ada pula pihak polis yang mahu campur tangan dan hendak mengesahkan samada ianya original ataupun tidak.
“Jika difikirkan ianya bukan isu jenayah pun dan tidak mustahil polis tidak ada kerja lain. Jadi ianya satu kerja pula hendak mengesahkan ‘recording’ itu sama ada sah ataupun tidak,” katanya kepada pemberita selepas Program Cakna Rakyat di Kampung Kubang Kacang, di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, tular di laman sosial rakaman audio antara Ahmad Zahid dan Anwar yang merujuk kepada ucapan Presiden Umno itu dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) baru-baru ini.
Dakwaan kerjasama itu bukan lagi rahsia dalam landskap politik tempatan walaupun kedua-dua pemimpin menafikan perkara berkenaan.
Mengulas apabila ditanya mengenai kerjasama antara PKR dan UMNO, Khalid berkata, perkara itu akan dibincangkan selepas pilihan raya umum (PRU) yang akan datang.
“Sekarang ini, dalam Pakatan Harapan (PH) kita tetap teruskan perjuangan, dasar dan sebagainya yang sudah disokong dan diberi mandat oleh rakyat pada PRU 14, lalu.
“Kita jatuh oleh kerana dikhianati, bukan kerana kerana rakyat yang tolak. Maka atas dasar perjuangan yang dibawa oleh PH, kami sudah mendapat kemenangan, maka ianya diteruskan,” katanya.
Katanya, PH akan pastikan semua parti pembangkang bersatu sepertimana pada PRU14 dan pihaknya yakin dapat mencapai kemenangan dengan menentukan bahawa calon-calon yang dipilih berkualiti atau tidak.
“Jika akhirnya kita tidak medapat jumlah yang cukup dan kalau tidak boleh dapat bentuk kerajaan pada ketika itu, baharulah kita tengok kemungkinan-kemungkinan kerjasama dengan pihak-pihak yang lain.
“Buat masa ini kita tumpu kepada PH dan perjuangan untuk membentuk satu kerajaan yang bersih dan amanah serta berkhidmat kepada rakyat kerana itulah asas kemenangan yang sudah dicapai dalam PRU14,” katanya.