PASIR MAS | Tren Diesel Multiple Unit (DMU) perjalanan dari Tumpat, Kelantan ke Gemas, Negeri Sembilan
bakal merancakkan lagi sektor ekonomi, sosial dan pelancongan di Pantai Timur.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, DMU disediakan untuk kemudahan rakyat di Pantai Timur khususnya di Kelantan dan Pahang.
Katanya, kerajaan memperuntukan RM380 juta bagi pembelian 13 unit tren bagi laluan dari Tumpat, Kelantan ke Gemas, Negeri Sembilan tidak termasuk kos membaiki laluan yang rosak akibat banjir besar 2014.
“Projek berkenaan kini sudah siap 80 peratus dan kementerian pengangkutan akan memantau bagi mempercepatkan pembinaan baki 20 peratus yang akan disiapkan secepat mungkin.
“Larian komersial tren DMU ini akan dijalankan secara berperingkat dan larian pertama tren bermula hari ini, bagi laluan Tumpat ke Gua Musang dengan jarak 216 kilometer (km) serta Gua Musang ke Kuala Lipis jarak 94km.
“Tren ini lebih baik (canggih) dari tren diesel konvensional kerana mampu menampung keperluan untuk kita termasuk mempunyai tempat simpan beg, ada soket kuasa, bilik solat, tandas dan lebih mesra orang kurang upaya (OKU). Semua tempat duduk adalah sama, tiada beza antara VIP (orang kenamaan) atau orang biasa serta OKU,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran DMU di Stesen Kereta Api Pasir Mas di sini, hari ini.



Menurutnya, pembinaan DMU menunjukkan bahawa kerajaan turut menyediakan perkhidmatan pengangkutan yang lebih baik di luar bandar dan bukan sahaja menumpukan di sekitar Lembah Klang sahaja.
Katanya, tren ini menyediakan satu persekitaran yang lebih kondusif untuk pelajar. Bukan sahaja untuk pergi ke sekolah, tetapi akan menyediakan mini perpustakaan untuk kemudahan pelajar.
“Ia satu pembaharuan yang kita nak buat dan satu inisiatif kerajaan untuk memberi manfaat kepada pelajar apabila mereka boleh menggunakan pas tanpa had hanya dengan bayaran RM5 sebulan atau dikenali sebagai MyRail5,” katanya.