KOTA BHARU | Jajaran politik baharu yang diperkatakan ketika ini sebenarnya sudah terbentuk sejak akhir tahun lalu, kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dato’ Mohamed Farid Mohamed Zawawi.
Beliau berkata, jajaran itu bermula apabila UMNO dan Pakatan Harapan (PH) sepakat menolak undi percaya Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar Perak ketika itu.
Justeru, katanya, beliau tidak berasa pelik dengan audio yang dikatakan perbualan mirip suara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah tulen atau sebaliknya.
“Jajaran politik baharu ini sebenarnya sudah terbentuk, cuma perkara ini belum diwarwarkan secara menyeluruh.
“Jajaran politik membabitkan UMNO dan PH yang bersama DAP dan Amanah dapat dilihat melalui berita pada persidangan DAP Perak apabila Veteran DAP Lim Kit Siang menyatakan parti mereka bersama UMNO untuk jatuhkan Menteri Besar Perak daripada Bersatu.
“Pada masa sama, Amanah menyatakan penafian dibuat Ahmad Zahid dan Anwar tidak perlu diperbesarkan. Dengan kata lain, Amanah turut sokong jajaran berkenaan,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Majlis MARA berkata demikian selepas merasmikan U.n.i Farmasi cawangan Kota Jembal, di sini, hari ini.
Ditanya mengenai hubungan Bersatu dengan PAS, beliau yang juga Ketua Bahagian Bersatu Kota Bharu menyifatkan hubungan kedua-dua parti semakin kukuh termasuk di Kelantan.
“Dari segi calon termasuk Parlimen Kota Bharu, kita belum bincangkan bagitu juga di Pusat kerana belum ada sebarang rundingan lagi ketika ini.
“Apa yang penting Bersatu bersama PAS dalam Perikatan Nasional (PN) akan pastikan kemenangan calon PN di Parlimen Kota Bharu,” katanya.