KOTA BHARU | Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) melantik Pegawai Penjarakan Fizikal yang akan menjadi duta di pejabat dan juga masjid bagi memastikan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP).
Yang Dipertua MAIK juga Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, seramai 10 Pegawai Penjarakan Fizikal ditempatkan di pejabat MAIK dan seorang pegawai di masjid bertugas secara bergilir.
Beliau berkata, di peringkat permulaan, Pegawai Penjarakan Fizikal ditempatkan di 17 masjid bandar di seluruh negeri dan kemudiannya akan dikembangkan di masjid-masjid mukim.
“Dalam situasi penularan pandemik Covid-19, mereka yang dilantik ini berperanan untuk mendidik masyarakat mematuhi SOP sebagaimana ketetapan yang dikeluarkan oleh MAIK membabitkan masjid, surau dan musolla di seluruh negeri.
“Sehubungan dengan itu, semua imam dan pegawai masjid perlu memainkan peranan lebih berkesan dan profesional dalam memastikan semua aktiviti mengimarahkan masjid mengikut SOP.
“Diharapkan dengan adanya pegawai ini ianya dapat menjamin keselamatan dan dalam masa sama menyokong usaha kerajaan untuk melandaikan lekuk jangkitan serta memutuskan rantaian Covid-19,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Amanat Yang Dipertua MAIK Bersama Imam-Iman Seluruh Negeri Kelantan Tahun 2021 di Kompleks Kota Darulnaim di hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan Dan Hubungan Seranta, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, Timbalan Yang Dipertua MAIK, Zulkifle Ab Rahman dan Setiausaha MAIK, Muhamad Rasani Ramli.
Dalam perkembangan lain, Mohamad Rizam berkata, MAIK akan terus menjaga kebajikan dan kemaslahatan para petugas serta kakitangan masjid bandar, jajahan dan masjid mukim di seluruh negeri.
Katanya, MAIK juga mengambil inisiatif menyediakan skim perlindungan diri dengan menyediakan caruman kepada 1,208 kakitangan di 604 masjid seluruh negeri terdiri daripada imam tua dan imam muda.
“Inisiatif ini diambil adalah bagi memastikan semua kakitangan masjid dapat melaksanakan tugasan dengan baik dan yang lebih penting mempunyai perlindungan takaful sepanjang masa,” katanya.
Pada majlis sama, MAIK turut mengagihkan bayaran fidyah kepada para imam masjid bandar dan jajahan seluruh negeri Kelantan berjumlah RM510,000.
Beliau, berkata, diharapkan semua peruntukan itu dapat diagihkan pada Ramadan ini kepada asnaf fakir miskin yang memerlukan di seluruh jajahan.