KOTA BHARU | Sebanyak RM15 juta diperuntukkan untuk Program Pembangunan Usahawan Profesional (ProSPEC), tahun ini bagi memberi peluang kepada usahawan dalam bidang profesional terutama farmasi.
Ahli Majlis MARA, Dato’ Mohamed Farid Mohamed Zawawi, berkata sejak dilancarkan pada September 2019, sebanyak 10 U.n.i Farmasi sudah dibuka di seluruh negara membabitkan implikasi kewangan berjumlah RM3.54 juta.
Beliau berkata, peserta yang terpilih untuk menyertai program ini akan disokong dengan kemudahan pembiayaan had maksima sehingga RM500,000.
“Kita tidak mempunyai sasaran permohonan, namun ia terbuka kepada usahawan yang terbabit dalam bidang profesional untuk membuka farmasi.
“Dengan peruntukan yang ada, sekurang-kurangnya 50 farmasi boleh dibuka di seluruh negara atau lebih daripada itu bergantung jumlah pembiayaan yang diluluskan.
“Tambahan pula dalam keadaan pandemik ketika ini, kita amat menggalakkan pembukaan farmasi berikutan permintaan luas di kalangan penduduk,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas merasmikan U.n.i Farmasi cawangan Kota Jembal di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, usahawan yang menyertai program ProSPEC ini perlu mengikuti modul latihan keusahawanan secara berstruktur yang dirangka khas.
“Ini membuktikan MARA sentiasa komited dalam melahirkan lebih ramai usahawan profesional khususnya dalam bidang kesihatan untuk memiliki farmasi sendiri.
“MARA menerusi program ProSPEC ini juga sudah berjaya membangunkan rangkaian U.n.i Klinik dan sedang giat membangunkan U.n.i Dental dalam usaha membangunkan usahawan bidang profesional,” katanya