KOTA BHARU | Kerajaan sentiasa menghargai sumbangan komuniti Sikh kepada pembangunan dan perpaduan negara.
Penghargaan berkenaan disuarakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis jamuan petang sempena Sambutan Hari Vaisakhi bersama komuniti Sikh di Gurdwara Sahib Petaling Jaya, Selangor hari ini.
“Saya menghargai sumbangan komuniti Sikh kepada pembangunan negara dan peranan yang dimainkan mereka dalam memastikan perpaduan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
“Selamat Menyambut Hari Vaisakhi 2021. Sekalung terima kasih kepada penganjur, iaitu Majlis Gurdwara Malaysia (MGC) menerusi presidennya, Sardar Jagir Singh serta Presiden Khalsa Diwan Malaysia, Sardar Santokh Singh, Presiden Sikh Naujawan Sabha Malaysia, Sardar Harjinder Singh dan Presiden Gurdwara Sahib Petaling Jaya, Sardar Dalbir Singh selaku tuan rumah kerana sudi menjemput saya ke majlis ini,” katanya menerusi facebooknya hari ini.
Dalam masa sama Muhyiddin juga berkata, seiring dengan usaha kerajaan mengekang pandemik Covid-19, beliau menyarankan institusi keagamaan seperti Gurdwara untuk terus memainkan peranan bagi memastikan pematuhan SOP yang tinggi dalam kalangan masyarakat.
Selain itu katanya, institusi agama berkenaan juga boleh sama-sama memainkan peranan membantu penduduk khususnya di kawasan luar bandar mendaftar untuk mendapatkan vaksin.