بسم الله الرحمن الرحيم
Firman Allah S.W.T:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
“Wahai orang-orang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa”
(Surah Al-Baqarah: ayat 183)
Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izinnya jua kita diberikan lagi perluang bertemu sekali dengan bulan yang mulia iaitu Ramadhan Al-Mubarak 1442 Hijrah.
Betapa beruntungnya kita kerana masih diberikan anugerah terindah oleh Allah untuk melalui bulan Ramadhan, sedangkan ada yang telah dijemput Illahi sebelum sempat melaluinya.
Andainya ini Ramadhan terakhir kita maka hiasilah ia dengan amalan yang mampu membawa kita ke alam abadi dengan penuh kegembiraan.
Bulan ramadhan adalah Bulan Tarbiyyah yang mendidik hamba-hambanya untuk menjalani “latihan praktikal” yang sempurna meliputi pendidikan rohani, intelektual dan fizikal.
Saya mengambil kesempatan ini mengajak semua warga Kota Bharu beragama Islam agar memanfaatkan Ramadhan dengan amalan-amalan yang mampu meningkatkan ketaqwaan seperti membaca Al-Quran, memperbanyakkan sedekah dan menghadiri majlis-majlis ilmu.
Sejak lebih setahun yang lalu, kita berjihad melawan Covid-19. Sepertimana ibadat puasa, kita dikehendaki berjihad melawan hawa nafsu. Kita lalui satu tempoh yang banyak menguji kesabaran dan daya ketahanan kita.
Saya berharap dibulan puasa ini kita terus berdisiplin mematuhi Prosedur Operasi Standard SOP ditetapkan Kementerian Kesihatan, bagi mengurangkan kes-kes baharu Covid-19 ke tahap yang paling minima, dan membendung sepenuhnya penularan wabak ini.
Pastikan anda semua menjaga jarak, memakai penutup muka dan sentiasa membasuh tangan atau sanitasi dengan cecair pembasmi kuman serta mematuhi semua arahan dikeluar oleh kerajaan berkaitan Covid-19.
Saya dapati bahawa usaha-usaha untuk membendung wabak Covid-19 masih perlu diteruskan. Walaupun angka-angka menunjukkan perkembangan yang positif, langkah-langkah yang kita ambil hendaklah diteruskan sampai ke satu masa di mana kita yakin wabak Covid-19 dapat dibendung sepenuhnya.
Bagi penduduk kawasan Kota Bharu yang masih belum mendaftar menerima dos vaksin Covid-19 sila lah berdaftar di MySejahtera anda bagi menyelamatkan nyawa semua.
Kita berharap agar kawasan Kota Bharu ini bebas dari wabak penyakit itu sebelum sambutan 1 Syawal agar kita dapat menyambut hari raya Aidilfitri kelak dengan aman dan jauh dari bahaya serta dapat bertemu dengan ibu dan bapa, sanak saudara pada hari Lebaran.
Saya mewakili pihak Parti Peribumi Bersatu Bahagian Kota Bharu , mengambil kesempatan ini menyusun sepuluh jari sekiranya ada perkataan, perbuatan atau gerak laku sama ada secara sengaja atau tidak sengaja yang tidak disenangi oleh semua warga Kota Bharu.
Kepada frontliners yang akan berpuasa dalam keadaan menjalankan tugas, saya harap anda terus tabah. InsyaAllah, pengorbanan anda semua akan diberikan ganjaran oleh Allah s.w.t.
Saya dan seisi keluarga juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat menyambut Ramadhan Al-Mubarak kepada seluruh warga Kota Bharu dan Kelantan amnya dengan doa dan harapan semoga Ramadhan ini Allah memakbulkan doa kita. Ahlan Wa Sahlan Wa Marhaban Ya Ramadan.
Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamuálaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.